fb fb fb fb fb

Tentera Thailand, Kemboja adakan perbincangan

Foto REUTERS

PHNOM PENH, 29 Julai – Komander tentera Thailand dan Kemboja mengadakan perbincangan pada Selasa susulan pengumuman gencatan senjata oleh kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu, selepas lima hari pertempuran di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Ketenangan mula kembali di kawasan terbabit, dengan penduduk yang dipindahkan dilaporkan mula pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut jurucakap tentera Thailand, meskipun terdapat dakwaan serangan oleh tentera Kemboja di sekurang-kurangnya lima lokasi awal pagi Selasa yang melanggar gencatan senjata, komander dari kedua-dua pihak tetap bertemu dan mengadakan rundingan.

Bagaimanapun, Kemboja menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tenteranya mematuhi sepenuhnya gencatan senjata sejak ia dikuatkuasakan, seperti dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Tea Seiha dalam satu kenyataan.

Kedua-dua angkatan tentera bersetuju untuk tidak menambah kehadiran pasukan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Pengarah Jeneral Suruhanjaya Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Parlimen Kemboja, Lim Menghour, turut menyatakan keperluan kehadiran pemantau antarabangsa bagi memastikan pematuhan gencatan senjata. -REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM