COPENHAGEN, 29 Julai – Sekumpulan saintis dari Denmark dan Amerika Syarikat sedang membangunkan antivenom berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani krisis melibatkan lebih 5.4 juta kes patukan ular setiap tahun, menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pasukan itu, diketuai penerima Hadiah Nobel, Profesor David Baker dari Universiti Washington dan Dr. Timothy Patrick Jenkins dari Universiti Teknikal Denmark (DTU).
Para saintis berkenaan menggunakan AI untuk membina protein khusus yang dapat meneutralkan toksin maut dalam bisa ular.
Dalam ujian awal ke atas tikus, protein yang menyasarkan “Three Fingers Toxins (3FT) iaitu sejenis neurotoksin dalam bisa ular tedung telah menunjukkan kadar kelangsungan hidup 80 hingga 100 peratus.
“Kami menganalisis struktur toksin paling berbahaya secara terperinci, memasukkannya ke dalam model AI canggih dan mereka bentuk ‘gam’ khas untuk meneutralkannya,” kata Jenkins.
Beliau menjelaskan bahawa toksin yang menyerang sistem saraf, sel, atau darah akan dilekatkan dengan protein yang direka khusus supaya tidak lagi aktif dan berbahaya.
Antivenom berasaskan AI ini dijangka lebih cepat bertindak, lebih murah, dan mudah dihasilkan berbanding rawatan tradisional, yang biasanya melibatkan penggunaan serum dari haiwan dan mahal untuk diproses.
“Harapan saya dalam tempoh lima tahun, kami dapat menyelesaikan ujian klinikal pertama dan mula mengedarkan produk kepada pesakit,” kata Jenkins.
Walaupun belum menggantikan sepenuhnya antivenom sedia ada, pendekatan baharu ini diharap dapat menjadi pelengkap rawatan, sekali gus meningkatkan akses terhadap terapi lebih berkesan dan mampu milik.
WHO menganggarkan antara 81,000 hingga 138,000 kematian akibat patukan ular setiap tahun, kebanyakannya di Asia, Afrika dan Amerika Latin, dengan petani dan kanak-kanak paling terjejas.
Profesor Andreas Hougaard Laustsen-Kiel dari DTU berkata, kesan patukan ular sering membawa kepada kecacatan kekal dan kehilangan anggota, menyebabkan mangsa kehilangan keupayaan mencari nafkah.
“Mangsa selalunya adalah penyumbang utama pendapatan keluarga. Kehilangan tangan atau kaki boleh memusnahkan masa depan mereka dan keluarga,” ujarnya. - REUTERS