GAZA, 29 Julai – Sekurang-kurangnya 30 penduduk Palestin, termasuk 14 wanita dan 12 kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, menurut agensi pertahanan awam wilayah itu pada Selasa.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal berkata, serangan itu berlaku sepanjang malam hingga ke pagi dan menyasarkan beberapa rumah penduduk di kawasan terbabit.
Hospital tempatan Al-Awda mengesahkan menerima mayat 30 mangsa yang disifatkan sebagai "syahid".
Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan terbaharu itu, yang berlaku ketika operasi ketenteraan ke atas kumpulan Hamas di Gaza memasuki bulan ke-22 susulan perang yang bermula pada Oktober 2023.
Sejak itu, lebih 59,900 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah yang ditadbir Hamas.
Pada hujung minggu lalu, Israel mengumumkan beberapa "jeda taktikal" setiap hari bermula Ahad, kononnya untuk membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan bagi mengelakkan kebuluran besar-besaran di Gaza.
Menurut pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, jeda itu berlangsung antara pukul 10 pagi hingga 8 malam waktu tempatan, manakala laluan konvoi bantuan dijamin selamat bermula pukul 6 pagi hingga 11 malam.
Bagaimanapun, serangan udara tetap diteruskan pada waktu malam.
Badan koordinasi pertahanan Israel, COGAT, memaklumkan lebih 200 trak bantuan telah diedarkan oleh PBB dan agensi bantuan pada Isnin, sementara 260 trak lagi dibenarkan masuk untuk menghantar bekalan ke titik agihan.
Selain itu, empat lori tangki bahan api turut dihantar, manakala 20 palet bantuan diagih melalui udara oleh pesawat Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). - AFP