NEW YORK, 29 Julai – China menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik Syria agar bekerjasama ke arah penyelesaian politik demi mewujudkan keamanan, kestabilan dan pembangunan semula negara itu.
Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong, menegaskan bahawa penyelesaian krisis Syria hanya boleh dicapai melalui proses politik yang dipimpin rakyat Syria sendiri dan inklusif, dengan mengambil kira kepentingan asas rakyat negara itu.
“Proses ini harus melibatkan peralihan politik yang inklusif serta melindungi hak semua rakyat Syria.
"PBB pula harus memainkan peranan aktif dalam menyokong proses ini,” katanya demikian pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di sini.
Cong turut menekankan bahawa situasi di Syria masih rapuh serta menggesa agar usaha digandakan bagi menentang keganasan serta menangani krisis kemanusiaan yang berterusan.
China juga turut menggesa pihak berkuasa sementara Syria memenuhi tanggungjawab dalam memerangi keganasan dengan serius, termasuk bertindak terhadap kumpulan yang disenaraikan sebagai pengganas oleh Majlis Keselamatan PBB, seperti Gerakan Islam Turkistan Timur.
Dalam masa sama, Fu turut mengutuk serangan udara Israel ke atas Syria, sambil menggesa agar kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria dihormati sepenuhnya.
Mesyuarat itu turut dimaklumkan oleh Utusan Khas PBB ke Syria, Geir Pedersen, mengenai pelanggaran hak asasi manusia secara meluas di wilayah Sweida, termasuk pembunuhan tanpa perbicaraan, penculikan, kemusnahan harta benda dan rompakan.
Menurut Edem Wosornu dari Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), konflik di Sweida telah melumpuhkan sistem kesihatan serta memusnahkan infrastruktur penting, menyebabkan krisis bekalan makanan, air dan elektrik.
Beliau menggesa semua pihak agar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memastikan akses bantuan kemanusiaan tidak dihalang. - REUTERS