fb fb fb fb fb

PBB: Sekatan Israel punca rakyat Gaza kebuluran

Foto REUTERS

GENEVA, 29 Julai – Agensi Makanan Pertubuhan Bangsa Bersatu (WFP) menyatakan bahawa Israel masih gagal membenarkan kemasukan penuh bantuan kemanusiaan ke Gaza, walaupun mengumumkan "jeda kemanusiaan" untuk tujuan tersebut.

Menurut Ross Smith, penasihat kanan program serantau WFP, hanya 50 daripada 100 trak bantuan yang dipohon sejak Ahad lalu berjaya masuk, kerana Israel belum memberi kebenaran sepenuhnya.

“Kami belum menerima kelulusan untuk membawa masuk jumlah bantuan yang diperlukan.

"Ini sangat mengecewakan,” katanya dalam sidang media PBB melalui pautan video.

Amaran lebih tegas turut disuarakan oleh Integrated Food Security Phase Classification (IPC) yang menyatakan bahawa Gaza kini sedang menuju ke arah kebuluran besar-besaran akibat halangan kemasukan makanan dan ubat-ubatan.

“Kelaparan, kekurangan zat makanan dan penyakit kini menjadi punca utama kematian.

"Ini adalah krisis yang berpunca daripada tindakan manusia,” kata IPC.

IPC turut menjangkakan Gaza mungkin akan diklasifikasi secara rasmi sebagai zon kebuluran.

Dalam dua bulan terakhir, Israel mendakwa lebih 5,000 trak bantuan dibenarkan masuk, tetapi jumlah itu masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan lebih dua juta penduduk Gaza yang hidup dalam kepungan ketat sejak Oktober 2023.

Israel juga mencadangkan penghantaran bantuan melalui udara, tetapi kaedah itu disifatkan oleh banyak pertubuhan kemanusiaan sebagai tidak berkesan dan sekadar simbolik, kerana tidak mampu menggantikan bekalan besar melalui darat.

“Apa yang kami perlukan ialah akses tanpa halangan dan bukan sekatan birokrasi atau syarat ketenteraan yang menyukarkan penghantaran,” tegas Smith.

Walaupun menghadapi tekanan antarabangsa, Israel masih meneruskan sekatan terhadap bantuan penting, sekali gus menyumbang kepada krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD