fb fb fb fb fb

Taiwan mulakan rundingan tarif pertama dengan AS

Foto REUTERS

TAIPEI, 12 April- Kerajaan Taiwan memaklumkan bahawa telah mengadakan rundingan tarif pertama dengan Amerika Syarikat (AS) dan menjangkakan perbincangan lanjut bagi membina hubungan perdagangan yang "kukuh dan stabil."

Pejabat Rundingan Perdagangan Taiwan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pegawainya telah mengadakan persidangan video pada Jumaat dengan "pegawai berkaitan dari AS" tanpa menamakan mereka.

"Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai tarif timbal balik Taiwan-AS, halangan perdagangan bukan tarif, serta beberapa isu ekonomi dan perdagangan lain termasuk kawalan eksport.

“Kedua-dua pihak menantikan rundingan susulan dalam masa terdekat dan berhasrat membina hubungan ekonomi dan perdagangan yang kukuh serta stabil," menurut kenyataan tersebut.

Sementara Presiden Taiwan, Lai Ching-te berkata pulau itu kini berada dalam "senarai rundingan awal kerajaan AS" ketika beliau berusaha melindungi pengeksport Taiwan daripada dikenakan tarif sebanyak 32 peratus.

Taiwan kini dikenakan tarif sebanyak 10 peratus, dan Lai berkata rundingan bertujuan mencapai perjanjian dengan Washington untuk menurunkannya kepada sifar.

Lebihan dagangan Taiwan dengan AS adalah ketujuh tertinggi di dunia, mencecah AS$73.9 bilion pada tahun 2024.

Sekitar 60 peratus eksport Taiwan ke AS terdiri daripada produk teknologi maklumat dan komunikasi, termasuk semikonduktor.

Cip semikonduktor tidak termasuk dalam senarai tarif baharu yang diumumkan oleh Trump.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump menangguhkan pelaksanaan tarif itu ke atas beberapa rakan dagang, termasuk Taiwan, selama tiga bulan selepas pasaran global mengalami kerugian bertrilion dolar.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM