fb fb fb fb fb

Tahanan Gaza trauma akibat diseksa tentera Israel

Foto Reuters

BAITULMAQDIS, 5 Mac - Tahanan Gaza yang dibebaskan oleh tentera Israel mengalami trauma yang teruk dan menerima seksaan ketika dalam tahanan, lapor Ketua Agensi Pelarian PBB pada Isnin.

Tahanan berkenaan dikatakan menerima layanan buruk" termasuk ancaman renjatan elektrik, bergambar berbogel, mengalami kekurangan tidur, selain menggunakan anjing bagi menakutkan para tahanan, kata ketua UNRWA Philippe Lazzarini dalam satu taklimat media.

Komen berkenaan disuarakan selepas laporan yang dikeluarkan New York Times mengenai siasatan dalaman yang oleh kakitangan UNRWA yang mendokumentasikan keadaan tahanan Gaza selepas pulang dari tahanan di sempadan Kerem Shalom.

"Kami telah melihat orang-orang ini pulang dari tahanan, sebahagian daripada mereka selama beberapa minggu, sebahagian daripada mereka selama beberapa bulan, dan kebanyakan mereka kembali adalah trauma sepenuhnya dengan pengalaman pahit yang telah mereka lalui," kata Lazzarini.

"Kami diberi taklimat tentang pengalaman pahit mereka, dan kami sememangnya menyusun laporan dalaman tentang pengalaman mereka", tambah Lazzarini.

Menurut Lazzarini, laporan berkenaan telah dikongsi dengan kumpulan hak asasi yang pakar dalam penahanan.

Kenyataan yang dikeluarkan Lazzarini menghangatkan lagi perbalahan antara UNRWA dan Israel yang menuduh agensi itu telah menggaji lebih daripada 450 pengganas bagi bekerja dengan agensi terbabit.

Sementara itu, UNRWA berkata pihak berkuasa Israel telah menahan beberapa kakitangannya dari Semenanjung Gaza yang kemudiannya didera ketika berada dalam tahanan.

"Kakitangan kami telah melaporkan kejadian kejam semasa ditahan dan ketika soal siasat oleh pihak berkuasa Israel.

"Laporan ini termasuk penyeksaan, layanan buruk yang teruk, penderaan dan eksploitasi seksual," kata UNRWA dalam satu kenyataan kepada AFP.

Konflik Israel dan Hamas setakat ini telah mengorbankan kira-kira 30,534 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak setakat ini menurut kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD