fb fb fb fb fb

Syarikat Kanada dapat lesen jual kokain

(FOTO HIASAN)

OTTAWA, 3 Mac- Syarikat biosains Kanada Sunshine Earth Labs mengumumkan pada Khamis bahawa sayarikat itu telah dilesenkan untuk menghasil dan menjual kokain, sekali gus mencerminkan usaha agensi kesihatan persekutuan untuk memperbaiki keadaan keselamatan bagi golongan penagih di negara itu.

Perjanjian pelesenan dibuat selepas peralihan dasar radikal untuk menangani krisis 'terlebih dos' opioid yang telah mengorbankan beribu-ribu nyawa dengan menyahkriminalisasikan sejumlah kecil kokain, heroin dan dadah lain.

Ottawa memberikan pengecualian kod jenayah pada Januari kepada British Columbia untuk projek perintis tiga tahun itu, dengan tujuan menghapuskan stigma berkaitan dengan penggunaan dadah yang menghalang orang ramai daripada mendapatkan bantuan.

Peguambela juga telah mendesak agar bekalan dadah lebih selamat disediakan kepada penagih yang menghadapi risiko kematian akibat keracunan dadah toksik yang dikaitkan dengan dadah jalanan terlarang.

Sunshine Earth Labs dalam satu kenyataan menyebut pihaknya menerima kebenaran daripada Health Canada untuk "memiliki, menghasilkan, menjual dan mengedarkan daun koka dan kokain secara sah," serta morfin, MDMA (ekstasi) dan heroin.

Pengumuman itu dibuat selepas pengaturan pelesenan serupa yang ditawarkan pada bulan Februari kepada Adastra Labs, yang sehingga kini tertumpu pada pembuatan ekstrak ganja.

Lesen Adastra juga membenarkannya untuk menghasilkan dan menjual psilocybin dan psilocin iaitu halusinogen yang lebih dikenali sebagai cendawan ajaib yang menghasilkan kesan serupa dengan LSD.

"Kami akan menilai bagaimana pengkomersialan bahan ini sesuai dengan model perniagaan kami di Adastra dalam usaha untuk meletakkan diri kami untuk menyokong permintaan bekalan kokain yang selamat," kata ketua eksekutif Michael Forbes.

British Columbia muncul sebagai bidang kuasa kedua di Amerika Utara yang menyahkriminalisasikan dadah keras selepas negeri Oregon AS berbuat demikian pada November 2020.

Wilayah Kanada diletakkan sebagai pusat krisis yang telah menyaksikan lebih 10,000 kematian akibat terlebih dos sejak mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam pada 2016.

Secara purata, kira-kira enam orang mati setiap hari akibat keracunan dadah toksik daripada populasi lima juta penduduk, mengatasi kematian akibat COVID- 19 pada permulaan wabak itu.

Di seluruh negara jumlah kematian akibat dadah telah melebihi 30,000 kes. -AFP


(FOTO HIASAN)

Media Baharu