fb fb fb fb fb

Suspek tembakan rambang perarakan 4 Julai Highland Park ditahan

HIGHLAND PARK, 5 Julai- Polis menahan seorang suspek semalam berhubung kes tembakan rambang mengorbankan enam orang ketika perarakan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) di pinggir bandar Chicago.

Suspek, Robert Crimo, 22 tahun, ditahan selepas pemburuan besar-besaran merentasi bandar Highland Park di Illinois.

Ketika kejadian, sambutan perarakan pada 4 Julai yang tertumpu kepada aktiviti santai kekeluargaan telah bertukar menjadi adegan ngeri kematian dan trauma.

Suspek menembak ke arah orang ramai dari atas bumbung dengan senapang berkuasa tinggi sekali gus mencetuskan suasana huru-hara apabila penonton panik berlari menyelamatkan diri, meninggalkan laluan perarakan yang berselerak dan kucar-kacir.

Polis turut menemui sepucuk senapang patah di bumbung sebuah bangunan di Highland Park.

Pegawai polis berkata, kira-kira 20 orang, termasuk kanak-kanak, dirawat kerana kecederaan tembakan, dengan beberapa orang berada dalam keadaan kritikal.

Tragedi itu adalah sebahagian daripada gelombang keganasan senjata api yang melanda AS; menyaksikan kira-kira 40,000 kematian setahun disebabkan oleh senjata api, menurut laman web Arkib Keganasan Senjata.- AFP


(Suspek kejadian tembakan rambang di Highland Park,  Robert Crimo, 22 tahun/AFP)

Media Baharu