CALIFORNIA, 23 Januari- Suspek yang membunuh 10 orang dalam kejadian tembakan rambang di Monterey Park ditemui mati.
Mayat Huu Can Tran, 72, ditemukan dalam sebuah van di Torrance, tidak jauh dari lokasi insiden.
Pihak berkuasa memaklumkan, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri dari tempat kejadian sebelum membunuh diri apabila didekati polis pada Ahad.
Syerif Daerah Los Angeles, Robert Luna berkata, motif tembakan itu tidak diketahui.
"Tran menembak dirinya sendiri pada pagi Ahad ketika polis menghampiri sebuah van putih yang dipandunya di Torrance, kira-kira 34 kilometer dari lokasi tembakan di Studio Tarian Star Ballroom di Monterey Park," katanya dalam satu sidang media.
(Polis menemui mayat Huu Can Tran, 72, di dalam sebuah van
di Torrance / Foto REUTERS)
Luna turut mengesahkan, Tran terlibat dalam satu lagi insiden di Alhambra kira-kira 20 minit selepas melakukan tembakan rambang di Monterey Park.
Bagaimanapun, Tran gagal melepaskan tembakan selepas pistol yang digunakannya dirampas oleh orang ramai.
Pada sidang media sama, Luna mendedahkan, 10 mangsa yang maut terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita.
Namun identiti mereka tidak didedahkan kepada umum.-REUTERS