fb fb fb fb fb

'Suspek kes tembak bunuh 11 orang bukan seorang yang ganas'- bekas isteri

(The Star Dance Studio di Monterey Park, California, pada 23 Januari 2023 / AFP)

MONTEREY PARK, 24 Januari- Suspek berusia 72 tahun yang membunuh 11 orang sebelum menembak dirinya sendiri, sebelum ini pernah menjadi ahli tetap di kelab tarian California di mana tragedi tembakan berlaku pada Isnin.

Imigran, Huu Can Tran menggunakan pistol separa automatik melepaskan 42 das tembakan di sekitar Studio Tarian Star Ballroom di Monterey Park, sebuah bandar di mana majoriti penduduk adalah orang Asia.

Dua puluh minit kemudian, senjatanya berjaya dilucutkan oleh seorang pekerja di kelab tarian lain, sebelum melarikan diri.

Kejadian berlaku ketika masyarakat Asia sedang menyambut Tahun Baharu Cina.

Tran, berhijrah ke Amerika Syarikat dari China, menurut sijil perkahwinan yang ditunjukkan oleh bekas isterinya kepada CNN.

Wanita itu, yang tidak mahu namanya didedahkan, memberitahu dia telah bertemu dengan Tran dua dekad lalu di Star Ballroom Dance Studio.

Studio tarian itu, yang laman webnya mengatakan ia diasaskan pada tahun 1990, menawarkan kelas dalam semua jenis tarian, termasuk balet kanak-kanak dan tarian Latin.

Wanita itu berkata, bekas suaminya, yang kadang-kadang bekerja sebagai pemandu trak, bukan merupakan seorang yang ganas, tetapi kadang-kadang boleh menjadi tidak sabar.

Rekod mahkamah yang dipetik CNN menunjukkan pasangan itu telah bercerai pada 2006.

Seorang lelaki yang mengatakan dia mengenali Tran dengan baik pada penghujung 2000-an dan awal 2010-an memberitahu dia telah menjadi pelanggan tetap di studio tarian pada masa itu.

Pemuda itu menerangkan bagaimana Tran dengan suka rela akan menumpangkannya hampir setiap malam.

Namun dia mengakui Tran kadang-kadang mengadu tentang guru tarian dan menggambarkan Tran mempunyai ramai musuh di studio tari berkenaan. -AFP


(Bunga dan lilin diletakkan di luar Star Dance Studio di Monterey Park, California / AFP)

Media Baharu