fb fb fb fb fb

Sudan kembali bergolak sebelum gencatan senjata tamat

(Asap berkepul-kepul di Khartoum ketika pertempuran berterusan antara
tentera dua jeneral yang bertelagah di Sudan pada 6 Mei 2023/ AFP)

KHARTOUM, 29 Mei- Tembakan senjata semakin rancak semalam dan terus bertambah hari ini meskipun gencatan senjata di Sudan secara rasminya hanya akan tamat tengah malam ini.

Baik tentera Sudan mahu pun kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF), tidak menghormati gencatan senjata diselaraskan pengantara Amerika Syarikat (AS) bersama Arab Saudi, sekali gus menghalang penyampaian bantuan kritikal.

Saksi di Khartoum memberitahu AFP, mereka boleh mendengar tembakan di selatan bandar pada hari keenam gencatan senjata selama seminggu yang sepatutnya tamat tengah malam ini.

Pengantara berkata, gencatan senjata itu bertujuan membenarkan bantuan kemanusiaan untuk orang awam dihantar melalui koridor selamat, namun terdapat 'pelanggaran oleh kedua-dua pihak yang amat menghalang' usaha itu.

"Kedua-dua pihak memberitahu fasilitator bahawa matlamat mereka adalah meredakan keadaan untuk memudahkan bantuan kemanusiaan dan pembaikan penting.

"Namun, kedua-dua pihak bersiap sedia untuk meningkatkan lagi keganasan," katanya dalam satu kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pasukan mengganggu usaha kemanusiaan, termasuk dengan kehadiran penembak tepat berhampiran hospital di wilayah yang dikawal RSF dan 'elemen' tentera yang mencuri bekalan perubatan.

Hampir kesemua gencatan senjata yang diumumkan sebelum ini dilanggar serta merta, namun AS dan Arab Saudi berkata, gencatan senjata kali ini berbeza kerana ia adalah perjanjian yang ditandatangani, dan diawasi jawatankuasa pemantau.

Projek Data Lokasi Konflik Bersenjata dan Peristiwa memaklumkan, dalam tempoh enam minggu peperangan di bandar itu, lebih 1,800 orang terbunuh.

Pertempuran berlaku antara angkatan tentera Sudan diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, menentang bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo, yang mengetuai RSF yang bersenjata lengkap.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, hampir 1.4 juta orang hilang tempat tinggal di Sudan dan lari ke negara jiran.


(Kumpulan pelarian dari Sudan semakin banyak membanjiri Chad, sekali gus membebankan lagi
usaha Program Makanan Sedunia (WFP) menyediakan bekalan makanan mencukupi untuk semua/ REUTERS)

Angkatan tentera Sudan dan RSF menyatakan kesediaan untuk rundingan damai terutama bagi melancarkan penghantaran bantuan kemanusiaan, namun ramai yang sangsi mengenai 'keikhlasan dan komitmen' mereka.

Sementara itu, pertubuhan sukarelawan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) memberi amaran mereka mungkin menghentikan sementara bantuan bagi menyelamatkan nyawa jika koridor kemanusiaan gagal diwujudkan di Sudan. - AFP

Media Baharu