fb fb fb fb fb

Pemimpin dunia ucap tahniah kepada Erdogan

(Penyokong meraikan kemenangan Erdogan di Istanbul/Foto AFP)

MOSCOW, 29 Mei- Para pemimpin dunia mengucapkan tahniah atas kejayaan Recep Tayyip Erdogan yang memenangi pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye, sekali gus melanjutkan pemerintahannya untuk lima tahun lagi.

Antara yang terawal berbuat demikian Presiden Rusia, Vladimir Putin yang merupakan sekutu rapat Turkiye.

Menurut Putin, kemenangan Erdogan dalam pilihan raya adalah hasil kerja beliau secara dedikasi sebagai ketua Republik Turki.

Ia juga bukti jelas sokongan rakyat terhadap usaha Erdogan untuk mengukuhkan kedaulatan negara, serta meneruskan dasar luar yang bebas.

“Kemenangan anda dalam pilihan raya ini adalah hasil kerja berdedikasi anda sebagai ketua Republik Turki,” kata Putin, menurut laman web Kremlin.

(Presiden Recep Tayyip Erdogan (kanan) dan isteri Emine Erdogan (kiri) melambai
tangan kepada penyokong yang berkumpul di luar kediamannya di daerah Kisikli, Istanbul/Foto AFP)

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dalam ucapan tahniahnya pula menyuarakan harapan Washington untuk terus bekerjasama dengan Ankara sebagai Sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam isu dua hala.

Serta, berkongsi cabaran global.

"Saya berharap untuk terus bekerjasama sebagai Sekutu NATO dalam isu dua hala dan berkongsi cabaran global," tweet Biden.

Pemimpin negara lain yang turut mengucapkan tahniah ialah Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak; Canselor Jerman, Olaf Scholz; Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

PBB, NATO, EU turut ucap tahniah

Tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Erdogan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Serta, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.-AFP

Media Baharu