PORT SUDAN, 27 Jun- Kira-kira 25.6 juta orang, atau lebih separuh daripada penduduk Sudan, menghadapi krisis ketidakjaminan makanan makanan tahap tinggi, mengikut laporan yang dipetik oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu pada Khamis.
Angka itu termasuk 755,000 orang yang menghadapi kebuluran, manakala 8.5 juta menghadapi keadaan "kecemasan", kata Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).
Sudan dicengkam oleh perang sejak April 2023, apabila pertempuran meletus antara tentera biasa yang diketuai oleh Abdel Fattah al-Burhan dan Rapid Support Forces separa tentera yang diketuai oleh bekas timbalannya Mohamed Hamdan Daglo.
Peperangan itu telah membunuh berpuluh-puluh ribu orang, berjuta-juta orang mengalami kecederaan dan cacat kekal serta mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
“Empat belas bulan selepas konflik, Sudan berdepan tahap paling teruk ketidakamanan makanan akut pernah direkodkan oleh IPC di negara itu,” kata laporan itu.
Ia menunjukkan "kemerosotan yang ketara dan pesat dalam situasi keselamatan makanan" berbanding dengan angka sebelumnya yang diterbitkan pada bulan Disember, dengan peningkatan 45 peratus dalam orang yang menghadapi tahap ketidakamanan makanan akut yang tinggi.
"Konflik itu bukan sahaja mencetuskan perpindahan besar-besaran dan gangguan laluan bekalan malah telah mengehadkan akses kepada bantuan kemanusiaan penting, memburukkan lagi keadaan yang sedia ada teruk," kata IPC.
Ia selanjutnya memetik "perkhidmatan kesihatan yang tidak berfungsi, pencemaran air dan keadaan sanitasi dan kebersihan yang buruk".
Orang yang terperangkap di kawasan konflik dan mereka yang melarikan diri dari pertempuran, sama ada di dalam atau di luar negara, amat terdedah kepada ketidakamanan makanan, kata laporan itu.
Laporan IPC dikeluarkan sehari selepas pakar Pertubuhan Bangsa Bersatu mendakwa kedua-dua belah pihak konflik menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.
Empat pakar hak bebas PBB pada Rabu berkata kerajaan asing yang memberikan sokongan ketenteraan kepada kedua-dua tentera dan RSF adalah "bersubahat" dalam jenayah perang.-AFP