BAYTUNYA, 20 Januari- Dua buah bas yang membawa seramai 90 tahanan Palestin dalam perjanjian gencatan senjata Gaza tiba di Tebing Barat pada pukul 2.00 pagi tadi waktu tempatan melalui lautan orang ramai yang berkumpul dengan penuh emosi.
Sebaik pintu bas dibuka, keluarga memeluk insan tersayang sambil menitiskan air mata kegembiraan, sementara bendera Palestin berkibar, nyanyian berkumandang dan bunga api mewarnai suasana itu.
Antara mereka yang dibebaskan ialah Bushra al-Tawil iaitu seorang wartawan Palestin yang dipenjarakan Israel sejak Mac tahun lalu.
Bushra menyatakan kegembiraan dan kesyukuran selepas menghadapi penantian yang sukar. "Kami yakin pembebasan akan berlaku, meskipun keadaan sangat mencabar," katanya.
Ratusan rakyat Palestin berkumpul untuk menyambut Bushra dan 89 tahanan lain yang dibebaskan sebagai pertukaran untuk tiga tebusan Israel yang ditahan di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Dalam gencatan senjata selama 42 hari itu, seramai 1,900 tahanan Palestin dijangka dibebaskan sebagai pertukaran dengan 33 tebusan Israel yang berada dalam tawanan Hamas di Gaza.
Bagi warga Palestin, tahanan yang dibebaskan bukan sekadar individu biasa tetapi simbol perjuangan rakyat yang tidak pernah padam. -AFP
Tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel melambai kepada orang ramai dari dalam bas Palang Merah sebaik sahaja tiba pada awal pagi tadi di bandar Beitunia, Tebing Barat, pinggir Ramallah/AFP
BERITA BERKAITAN