fb fb fb fb fb

Tiga tebusan Israel dibebaskan pada hari pertama gencatan senjata

Tiga tebusan Israel yang diserahkan oleh Hamas kepada Palang Merah di Gaza City untuk dibawa kepada pihak Israel/Reuters

PALESTIN, 20 Januari- Tiga tebusan Israel dibebaskan pada Ahad ketika hari pertama pelaksanaan gencatan senjata yang dimeterai bagi menamatkan konflik selama lebih 15 bulan yang terus menghancurkan kehidupan rakyat Palestin di Gaza.

Tebusan berkenaan ialah Romi Gonen, Doron Steinbrecher dan Emily Damari yang ditawan di Gaza selepas ditangkap dari Israel pada 7 Oktober 2023.

Hamas menyerahkan mereka kepada Palang Merah di Gaza City.

Serahan tersebut berlangsung di Persimpangan Al-Saraya dengan kehadiran orang ramai yang menyaksikan proses tersebut, sementara puluhan pejuang Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas mengawal kawasan itu.

Namun, menjelang tengah malam tadi, tiada pengumuman berkenaan pembebasan puluhan tahanan Palestin yang masih ditahan di penjara Israel, meskipun perjanjian pertukaran telah dipersetujui.

Gencatan senjata selama 42 hari yang dirunding oleh Qatar, Amerika Syarikat dan Mesir sepatutnya membuka ruang kepada kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, selain pembebasan lebih ramai tahanan Palestin dan penarikan tentera Israel dari beberapa kawasan.

Di sebalik pelaksanaan gencatan senjata, penderitaan rakyat Palestin berterusan.

Ribuan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berulang oleh rejim Israel terpaksa meredah laluan berpasir dan kembali ke kawasan yang kini dipenuhi runtuhan bangunan.

"Kami akhirnya kembali ke rumah kami. Tiada apa yang tinggal, hanya puing-puing, tetapi ini tetap rumah kami," kata Rana Mohsen, 43, ketika kembali ke kawasan kediamannya di Jabalia yang kini musnah sepenuhnya.

Rejim Israel terus mengelak daripada mematuhi sepenuhnya syarat perjanjian dengan menunda pembebasan tahanan Palestin.

Sementara itu, rakyat Gaza masih menanti bantuan kemanusiaan yang dijanjikan, di tengah-tengah sekatan dan kehancuran akibat pencerobohan ketenteraan yang berpanjangan.

Perjanjian gencatan senjata itu dilihat sebagai langkah sementara, namun banyak pihak menuntut rejim Israel bertanggungjawab atas kerosakan besar yang ditinggalkan serta penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin.

Rundingan untuk mencapai gencatan senjata kekal masih diteruskan, namun masa depan wilayah yang terus dibelenggu penindasan kekal tidak menentu. -AFP-Reuters

2001 BD TEBUSAN ISRAEL 3
Salah seorang tebusan yang dibebaskan ketika puluhan pejuang Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas mengawal di Persimpangan Al-Saraya bagi proses serahan tiga tebusan Israel pada Ahad/Reuters

SITI AISHAH MD ISA