fb fb fb fb fb

Suami isteri curi 45 botol wain bernilai 1.6 juta euro dicekup polis

(Hotel Atrio di Caceres)

MADRID, 7 Mac- Mahkamah Sepanyol pada Isnin memenjarakan sepasang suami isteri kerana mencuri 45 botol wain bernilai lebih 1.6 juta euro dari sebuah restoran hotel dalam apa yang disebut polis sebagai kecurian 'terancang'.

Sebotol Chateau D'Yquem 1806 bernilai 350,000 euro adalah antara wain yang dicuri dari hotel Atrio di Caceres di barat daya Sepanyol pada Oktober 2021 dalam rompakan yang menjadi tajuk utama global.

Mahkamah di Caceres menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada wanita itu manakala suaminya empat tahun setengah, selepas mendapati mereka bersalah.

Mahkamah juga memerintahkan pasangan itu yang ditangkap pada Julai 2022 di Croatia membayar pampasan sebanyak 753,454 euro kepada hotel itu.

Wanita itu, yang menurut laporan akhbar Sepanyol adalah bekas ratu cantik Mexico, mendaftar masuk ke hotel itu menggunakan pasport Swiss palsu, kata mahkamah.

Selepas menjamu selera di restoran hotel bertaraf Michelin tiga bintang, pasangan itu diberi lawatan ke bilik wain bawah tanah yang terkenal di Atrio sebelum mereka kembali ke bilik mereka.

Pada pukul 2.00 pagi wanita itu menghubungi penyambut tetamu dan meminta satu-satunya petugas pada masa itu untuk membuatkannya salad, menurut keputusan mahkamah.

Pekerja itu pada mulanya menafikan permintaan itu kerana dia bersendirian, malah pasangan itu sebenarnya baru sahaja makan, tetapi dia akhirnya bersetuju kerana mereka terus mendesak.

Semasa pekerja itu sedang menyediakan salad, lelaki itu menyelinap ke kaunter penyambut tetamu dan mencuri kunci elektronik yang disangkanya boleh masuk ke bilik bawah tanah wain tetapi ia adalah salah.

Dari luar ruang bawah tanah wain lelaki itu memanggil pasangannya dan memberitahunya sekali lagi untuk mengalih perhatian penyambut tetamu, jadi dia meminta pencuci mulut.

"Tertuduh kembali ke kaunter pendaftaran dan dia mengambil kunci utama nombor 27, yang digunakannya untuk membuka bilik bawah tanah wain dari mana dia mengambil 45 botol wain," kata mahkamah.

Lelaki itu, yang dilaporkan mempunyai kewarganegaraan Romania dan Belanda, membawa botol-botol itu ke biliknya dalam beg galas dan dua beg besar sebelum penyambut tetamu kembali ke kaunter.

Pasangan itu telah "merancang dengan teliti" rompakan itu, kata Polis Negara Sepanyol dalam satu kenyataan apabila pasangan itu ditahan.-AFP


(FOTO HIASAN)

Media Baharu