fb fb fb fb fb

103 kanak-kanak, antara 340 pendatang yang ditinggalkan dalam trak

(FOTO REUTERS)

MEXICO CITY, 7 Mac- Pihak berkuasa Mexico berkata mereka menemui seramai 103 migran kanak-kanak bawah umur mengembara tanpa ditemani ahli keluarga, pada Isnin.

Kanak-kanak berkenaan adalah antara ratusan pendatang ditemui dalam sebuah trak yang ditinggalkan di lebuh raya.

Kanak-kanak bawah umur, kebanyakannya dari Guatemala, adalah sebahagian daripada kumpulan kira-kira 340 pendatang dari Amerika Tengah dan Selatan, kata Institut Migrasi Kebangsaan dalam satu kenyataan.

Kenderaan itu, yang mempunyai kipas dan pengudaraan, ditemui pada malam Ahad di lebuh raya di negeri timur Veracruz tanpa pemandu.

Bahagian treler trak itu diubah suai menjadi dua tingkat untuk membawa lebih ramai pendatang, kata agensi itu.

Trak adalah salah satu kaedah paling berbahaya yang digunakan oleh penyeludup mengangkut pendatang tanpa izin melalui Mexico ke Amerika Syarikat.

Jun lalu, lebih 50 pendatang maut selepas mereka ditinggalkan di dalam traktor-treler dalam keadaan panas terik di San Antonio, Texas.

Pada Disember 2021, 56 pendatang dari Amerika Tengah ke AS terbunuh dan berpuluh-puluh cedera apabila trak yang mereka naiki terbalik di selatan Mexico. -AFP


(Pendatang asing yang ditemui dalam trak berjaya diselamatkan pihak berkuasa Mexico/ REUTERS)


(Keadaan dalam trak yang menempatkan pendatang asing / REUTERS)

Media Baharu