fb fb fb fb fb

Speaker Parlimen Thai tangguh undi pilih PM baharu

(FOTO AFP)

BANGKOK, 25 Julai - Speaker Parlimen Thailand pada Selasa memutuskan penangguhan pengundian bagi memilih perdana Menteri baharu negara itu, menurut media tempatannya.

Undian itu yang dijadualkan pada Khamis ini terpaksa ditangguhkan selepas Pejabat Ombudsman Thailand menghantar petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan untuk menangguhkan pengundian berkenaan.

Pejabat Ombudsman dalam kenyataannya pada Isnin berkata, ia akan membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan sama ada keputusan parlimen bagi pemilihan semula calon Perdana Menteri Pita Limjaroenrat pada minggu lepas melanggar perlembagaan.

Setiausaha Agungnya, Keirov Kritteeranon dalam sidang media berkata, pihaknya juga akan meminta mahkamah untuk mengambil langkah bagi menangguhkan proses pemilihan Perdana Menteri Thailand yang sepatutnya dijadualkan pada Khamis ini, sehingga keputusan mahkamah keluar.

Terdahulu, pada Rabu lalu, keputusan undian ahli Dewan Perwakilan dan Negara Thailand telah menghalang Pita, 42 yang merupakan Ketua Parti Move Forward yang memenangi pilihan raya lalu, daripada menyandang jawatan Perdana Menteri Thai yang baharu.

Sebelum ini, Parlimen Thailand menolak pencalonan Pita Limjaroenrat berikutan cubaan pertamanya pada 13 Julai lalu gagal mendapat sokongan mencukupi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Sementara itu, Parti Pheu Thai yang muncul sebagai parti kedua paling popular dalam pilihan raya Mei, dijangka mencalonkan calonnya sendiri bagi jawatan Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada pakatan lapan parti termasuk Move Forward pimpinan Pita Limjaroenrat.-REUTERS


(Calon Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenrat/FOTO AFP)

Media Baharu