fb fb fb fb fb

Sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza 'lumpuh' - WHO

Pesakit yang dirawat di Hospital Al Syifa di Gaza/FOTO AFP

NEW YORK, 11 November - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza hampir 'lumpuh'.

Ia melibatkan separuh daripada 36 hospital di wilayah terbabit tidak lagi berfungsi.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom mendedahkan koridor hospital terbabit penuh dengan mangsa yang cedera dan sakit begitu juga yang hampir mati.

Malah bilik mayat terlalu sesak serta pembedahan dilakukan tanpa ubat bius, katanya pada Majlis Keselamatan.

Tambah beliau, puluhan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal memaksa mereka menjadikan hospital sebagai tempat berlindung.

"Sistem kesihatan semakin terjejas. Entah bagaimana ia terus mampu berfungsi bagi menyelamatkan nyawa," katanya.

Dr Adhanom berkata, terdapat lebih 250 serangan disasarkan ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan antaranya hospital, klinik, ambulans dan pesakit di Gaza serta Tebing Barat.

Ini termasuk 25 serangan sama di Israel sejak konflik tercetus pada 7 Oktober lalu.

"Langkah terbaik untuk menyokong petugas kesihatan dan orang yang berkhidmat dengan memberi mereka alat yang mereka perlukan untuk melaksanakan tugas, seperti ubat-ubatan, peralatan perubatan dan bahan api untuk generator hospital," katanya.

WHO juga menyeru agar peningkatan bantuan yang disalurkan melalui Rafah - Mesir.

Pertubuhan itu turut mengulangi gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk gencatan senjata.

Sementara itu, Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Marwan Jilani menggesa anggota majlis berkenaan berusaha sedaya mungkin untuk mengelak lebih banyak kematian dan penderitaan selanjutnya di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada Majlis Keselamatan menerusi sidang video.

Tegasnya, situasi yang semakin memburuk di Hospital Al-Quds di Gaza, termasuk ahlinya turut menjadi sasaran apabila ditembak penembak tepat Israel.

Majlis itu berbelah bahagi mengenai peperangan dan gagal mengeluarkan resolusi mengenainya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN