fb fb fb fb fb

Tindakan Israel tidak wajar, gesa hentikan pengeboman di Gaza - Presiden Perancis

Rakyat Palestin yang cuba menyelamatkan diri selepas serangan udara Israel di Gaza/FOTO AFP

PARIS, 11 November - Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa Israel menghentikan pengeboman orang awam di Gaza.

Beliau turut menegaskan tindakan rejim Zionis tiada justifikasi kerana menyebabkan kematian sehingga mewujudkan kebencian di Asia Barat.

Macron dalam temu bual dengan BBC berkata, meskipun Israel mempunyai hak untuk melindungi dirinya selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, namun tindak balas Israel melancarkan serangan bom meragut nyawa bayi, wanita dan warga emas.

Beliau turut tidak bersetuju dengan tindakan Israel yang cuba melindungi diri dengan melakukan pengeboman besar-besaran ke atas Gaza.

" Oleh itu, tidak ada sebab untuk Israel bertindak sebegitu rupa dan tiada kewajaran. Kami menggesa Israel untuk berhenti," katanya.

Kementerian Kesihatan Palestin mendedahkan lebih 11,000 terutama orang awam terkorban dalam serangan udara dan darat oleh tentera Israel sejak konflik tercetus pada 7 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Macron berkata, semua kerajaan dan agensi bantuan pada persidangan bantuan kemanusiaan berlangsung di Paris bersetuju tempoh kemanusiaan diikuti dengan gencatan senjata, menjadi satu-satunya cara melindungi orang awam di Gaza.

Ditanya sama ada tindakan Israel melanggar undang-undang antarabangsa, Macron menjawab beliau bukan hakim.

"Saya seorang ketua negara yang berusaha menjadi rakan kongsi dan rakan kepada Israel," katanya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN