SEOUL, 17 Januari- Penyelidik yang menyiasat nahas pesawat Jeju Air yang meragut 179 nyawa bulan lalu menemui sisa bulu dalam kedua-dua enjin pesawat dengan serangan burung kini menjadi salah satu kemungkinan punca utama kemalangan itu, lapor media Korea Selatan.
Institut Sumber Biologi Kebangsaan yang dikaitkan dengan kerajaan memberitahu stesen penyiaran MBN bahawa analisis ke atas 17 sampel termasuk bulu dan darah telah selesai.
Bagaimanapun, Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan enggan mengesahkan laporan tersebut.
Ketua penyiasat, Lee Seung-yeol, minggu lalu menjelaskan sisa bulu telah ditemui di salah satu enjin yang diperoleh tetapi menegaskan serangan burung tidak semestinya menyebabkan kegagalan enjin secara serta-merta.
"Kami perlu menyiasat sama ada kedua-dua enjin terjejas. Pasti satu enjin mengalami serangan burung," katanya. Siasatan turut mengenal pasti kemungkinan masalah lain seperti gear pendaratan yang rosak dan penghadang landasan.
Juruterbang dilaporkan memberi amaran mengenai serangan burung sebelum membatalkan percubaan mendarat kali pertama tetapi pesawat itu terhempas semasa percubaan kedua apabila gear pendaratan gagal berfungsi.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila Kementerian Pengangkutan memaklumkan kotak hitam yang mengandungi data penerbangan dan perakam suara kokpit berhenti merakam empat minit sebelum nahas.
Pesawat Boeing 737-800 itu dalam penerbangan dari Thailand ke Muan, Korea Selatan pada 29 Disember lalu membawa 181 penumpang dan anak kapal sebelum ia mendarat cemas di Lapangan Terbang Muan.
Pesawat itu kemudian meletup sebaik melanggar penghadang konkrit menjadikannya tragedi penerbangan terburuk di Korea Selatan.
Pihak berkuasa juga telah menyerbu pejabat di Lapangan Terbang Muan, pejabat penerbangan wilayah di daerah barat daya dan pejabat Jeju Air di Seoul untuk siasatan lanjut.
Kementerian juga melanjutkan penutupan lapangan terbang terbabit sehingga 19 Januari bagi tujuan keselamatan. -AFP