fb fb fb fb fb

Edar dadah: Singapura gantung Saridewi Djamani hari ini

(Foto hiasan)

SINGAPURA, 28 Julai- Singapura hari ini menjatuhkan hukuman gantung terhadap seorang warga tempatannya kerana mengedar dadah walaupun mendapat rayuan daripada kumpulan hak asasi manusia, selain menjadi hukuman mati pertama negara itu terhadap wanita dalam tempoh hampir 20 tahun.

"Hukuman mati yang dijatuhkan atas Saridewi Binte Djamani, 45, telah dilaksanakan hari ini pada 28 Julai 2023," kata Biro Narkotik Pusat dalam kenyataan.

Saridewi disabitkan kesalahan mengedar dadah lebih 30.72 gram heroin iaitu lebih dua kali ganda jumlah yang boleh dikenakan hukuman mati di Singapura.

"Dia dijatuhkan hukuman pada 2018, diberi proses sewajarnya di bawah undang-undang dan diwakili peguam bela sepanjang proses itu.

"Dia merayu terhadap sabitan dan hukuman, dan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Saridewi pada 6 Oktober 2022," kata biro tersebut sambil menambah bahawa rayuannya untuk pengampunan presiden juga ditolak.

Saridewi adalah wanita pertama dihukum mati di negara itu sejak 2004 apabila Yen May Woen yang juga merupakan warga Singapura dihukum gantung atas jenayah sama.

Wanita itu juga adalah banduan ke-15 yang dihantar ke tali gantung sejak kerajaan menyambung semula hukuman mati pada Mac 2022 selepas berehat selama dua tahun semasa pandemik COVID-19.

Kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International menggesa kerajaan menghentikan hukuman mati minggu ini, dengan mengatakan tiada bukti hukuman tersebut bertindak sebagai penghalang kepada jenayah.

Singapura mempunyai undang-undang antidadah paling keras di dunia iaitu mengedar lebih 500 gram kanabis (ganja) atau lebih 15 gram heroin boleh dihukuman gantung.

"Ini adalah hukuman mati keempat tahun ini dan akan ada satu lagi minggu depan (3 Ogos). Ia mengerikan bagi keluarga dan membimbangkan banduan hukuman mati yang lain," kata aktivis hak asasi Singapura, Kirsten Han.

Singapura bagaimanapun menegaskan hukuman mati telah membantu negara itu menjadi salah satu negara paling selamat di Asia -AFP

(Foto hiasan)

Media Baharu