fb fb fb fb fb

Singapura bersetuju secara prinsip iktiraf negara Palestin pada masa sesuai

Menteri Hal Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan/Foto rasmi Kementerian Ehwal Luar Singapura

SINGAPURA, 2 Julai - Singapura bersedia secara prinsip untuk mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai, kata Menteri Hal Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata, pertimbangan utama Singapura ialah langkah sedemikian harus membantu kemajuan ke arah keamanan dan penyelesaian dua negara antara Israel dengan Palestin yang dirundingkan.

"Khususnya, perlu ada Kerajaan Palestin yang berkesan yang menerima hak Israel untuk wujud dan menolak keganasan secara tegas.

"Kami menggesa kedua-dua pihak untuk mengambil langkah ke arah keamanan berkekalan dan menamatkan penderitaan yang telah berlangsung terlalu lama," katanya kepada Parlimen, hari ini.

Pada 10 Mei lalu, Singapura mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menyatakan sokongan kepada keanggotaan Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Balakrishnan berkata, Singapura membuat undian itu selepas melakukan pertimbangan teliti.

Katanya, ia dengan harapan bahawa Palestin dan Israel akan menyambung semula rundingan langsung ke arah penyelesaian dua negara ketika prospek berkenaan dilihat semakin suram.

Sementara itu, beliau berkata, tahap sokongan Singapura kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak tertakluk kepada aspek sama ada terdapat pengiktirafan rasmi terhadap negara berkenaan.

"Singapura akan terus berhubung dengan PA dan melaksanakan pakej bantuan teknikal bernilai S$10 juta bagi membantu PA membina kapasiti serta bersedia untuk kenegaraan," katanya.

Hingga kini, Singapura telah melatih lebih 750 pegawai Palestin dalam pelbagai bidang, termasuk diplomasi, pengurusan ekonomi dan perancangan bandar.

Beliau berkata, republik ini juga menyediakan biasiswa untuk pegawai Palestin melanjutkan pengajian pascasiswazah di universiti Singapura.

Setakat ini, terdapat tiga penerima biasiswa berkenaan pada tahun ini. – BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN