fb fb fb fb fb

Singa di zoo Gaza terpaksa diberi makan roti

FOTO AFP

RAFAH, 4 Januari- Haiwan di sebuah zoo dekat kawasan paling selatan Gaza iaitu Rafah ketika ini sedang berdepan krisis kebuluran ekoran serangan Israel ke atas wilayah itu.

Lebih menyedihkan, haiwan pemakan daging seperti singa terpaksa diberi makan roti untuk kelangsungan hidup.

Pemilik zoo persendirian itu, Ahmed Joumaa berkata, sejak konflik antara Hamas-Israel tercetus pada 7 Oktober lalu, harga makanan meningkat, malah terputus bekalan.

"Kami sentiasa cuba bawa sesuatu. Jika tiada langsung, kami terpaksa beri singa makan roti kering direndam air.

"Beg makanan dahulu (sebelum perang) berharga 70 syikal, sekarang berharga 400 syikal, namun selalunya tidak ada.

"(Jadi apabila) makanan tidak ada, akan ada haiwan yang mati. Baru-baru ini, seekor singa betina telah melahirkan anak tetapi kerana tiada makanan anak-anaknya mati.

"Perkara sama berlaku dengan monyet dan burung," katanya.

Jelas Ahmed, zoo berkenaan dapat diurus pada awal perang, namun ia semakin tidak terkawal termasuk ketiadaan air dan ubat-ubatan.

"Serangan (Israel) telah menakutkan orang ramai, jadi bagaimana dengan haiwan? Mereka sudah tentu terjejas mental, dan ketakutan," tambahnya.

Bagaimanapun, dia sedikit lega apabila Liga Haiwan Palestin berpangkalan di Ramallah berjanji untuk menyumbang bantuan makanan yang dijangka akan disalurkan selewat-lewatnya 15 Januari ini.

Terdahulu, zoo terbabit ditutup kepada orang awam namun dibuka semula bagi menempatkan penduduk sekitar yang kehilangan tempat tinggal. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA