NANAO, 4 Januari- Lebih 50 orang masih hilang ketika penyelamat Jepun sedang bertungkus-lumus cuba sampai ke lokasi ratusan orang yang terputus bantuan selepas tiga hari tragedi gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud menggegar wilayah Ishikawa, Jepun.
Ratusan mangsa di lebih 12 komuniti kecil itu terpisah dari dunia luar akibat tanah runtuh dan kemusnahan jalan darat.
Komuniti di wilayah Semenanjung Noto dilapor paling teruk terjejas, dengan kira-kira 300 orang di bandar Ooya, Suzu kini terdesak menunggu bantuan.
Salah seorang mangsa, 30, yang merupakan ibu kepada tiga anak mendedahkan bahawa mereka semakin kekurangan makanan
"Anak-anak masih dapat makan tetapi ia tidak mencukupi sama sekali. Saya hampir tidak makan apa-apa sejak dua hari lalu," ujarnya kepada akhbar Asahi Shimbun.
Pada masa sama, kira-kira 29,000 rumah di Ishikawa terputus bekalan elektrik dan lebih 110,000 lagi ketiadaan air.
Sementara itu, data rasmi hari ini merekodkan korban gempa termasuk gempa susulan sudah mencecah sekurang-kurangnya 78 orang dan 330 lagi cedera.
Pihak berkuasa juga mengeluarkan senarai 51 orang hilang.