(Peta Bihar di India/Google)
PATNA, 18 Ogos- Sebuah sindiket penipuan di India mengendalikan balai polis palsu dari sebuah hotel di negeri Bihar selama lapan bulan sebelum dihidu pihak bekuasa.
Kumpulan itu mendirikan balai palsu mereka hampir 500 meter dari rumah ketua polis tempatan yang sebenar dan memakai pakaian seragam dengan lencana pangkat dan membawa senjata api.
"Mereka dipercayai memeras wang daripada ratusan orang," kata seorang pegawai polis tempatan, D.C. Srivastava kepada agensi berta AFP.
Mereka juga mengenakan bayaran kepada penduduk tempatan yang datang ke stesen palsu untuk memfailkan aduan dan kes, sambil mengaut wang tunai daripada orang lain dengan berjanji akan membantu mereka mendapatkan perumahan sosial atau pekerjaan dalam perkhidmatan polis.
Sindiket itu membayar gaji harian kira-kira 500 rupee (sekitar AS$6) kepada orang ramai dari kawasan luar bandar untuk berpura-pura menjadi pegawai polis yang bekerja di balai itu.
(Pegawai polis India di negeri Uttar Pradesh di utara India/AFP)
Penipuan mereka dikesan apabila seorang pegawai polis sebenar melihat dua ahli kumpulan itu membawa senjata api yang dibuat di bengkel tempatan dan bukannya senjata yang digunakan anggota polis.
"Sekurang-kurangnya enam ahli kumpulan itu termasuk dua wanita telah ditangkap tetapi ketua kumpulan masih bebas.
"Siasatan sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan didedahkan," kata Srivastava. -AFP