fb fb fb fb fb

Sinar baharu Gaza, Kanada bakal umum iktiraf Palestin

Penduduk Gaza yang juga seorang guru tempatan, Mahmoud Abu Mustafa gembira dengan usaha Kanada / Foto REUTERS

GAZA, 31 Julai - Penduduk Gaza kembali menaruh harapan selepas Kanada menjadi negara Barat terbaharu mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf negara Palestin, di sebalik perang yang terus meragut ribuan nyawa di wilayah itu.

Seorang guru tempatan, Mahmoud Abu Mustafa berkata, walaupun perang berlarutan tanpa kesudahan namun langkah itu memberi sinar baharu.

“Masih ada cahaya yang bersinar dari dunia, tanda bahawa dunia mula sedar,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney mengesahkan, beliau merancang untuk mengiktiraf negara Palestin dalam mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung pada September.

Tindakan tersebut dilihat bakal meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel.

Langkah Kanada menyusul selepas Perancis menyatakan komitmen sama minggu lalu, manakala Britain turut menyatakan kesediaan untuk mengiktiraf negara Palestin jika serangan di Gaza tidak dihentikan menjelang mesyuarat PBB itu.

Tindakan oleh sekutu rapat rejim zionis ini mencerminkan kemarahan global yang semakin memuncak terhadap sekatan berterusan Israel terhadap penghantaran makanan dan bantuan ke Gaza, ketika wilayah itu berdepan krisis kemanusiaan paling buruk sejak perang bermula.

Laporan pemantau antarabangsa turut memberi amaran bahawa Gaza kini menghampiri senario paling buruk termasuk kebuluran menyeluruh akibat konflik yang berterusan dan kekangan bantuan. - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE