fb fb fb fb fb

Penangguhan tarif AS baharu, Mexico ada 90 hari runding perjanjian baharu

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum/Reuters

MEXICO CITY, 1 Ogos- Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pada Khamis menjelaskana bahawa beliau berjaya mendapatkan penangguhan pelaksanaan tarif baharu serta diberi tempoh 90 hari untuk merundingkan perjanjian dagangan menerusi panggilan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perjanjian itu sekali gus mengelakkan penguatkuasaan tarif sebanyak 30 peratus yang sepatutnya berkuat kuasa mulai Ogos ini.

Jelas Sheinbaum, penangguhan itu melindungi Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA) dan memastikan barangan yang mematuhi perjanjian berkenaan terus dikecualikan daripada tarif 25 peratus yang dikenakan Trump awal tahun ini susulan krisis fentanyl.

Menurut Kementerian Ekonomi Mexico, kira-kira 85 peratus eksport negara itu mematuhi peraturan asal yang digariskan dalam USMCA.

Menteri Ekonomi, Marcelo Ebrard yang turut hadir bersama Sheinbaum berkata, perjanjian pada Khamis membawa kedua-dua negara lebih hampir untuk mencapai perjanjian dagangan jangka panjang.

Sheinbaum dan Ebrard menegaskan bahawa penangguhan itu memastikan Mexico kekal sebagai antara negara di dunia dengan akses paling istimewa ke pasaran AS. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM