KIEV, 1 Ogos- Rusia melancarkan serangan bertubi-tubi menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas Kiev sebelum subuh pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang.
Menurut pegawai di ibu negara Ukraine, jumlah itu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, serta mencederakan lebih 100 yang lain.
Presiden Volodymyr Zelenskyy dalam ucapan video malamnya meletakkan angka korban pada 14 orang dan berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan sehingga lewat petang.
Kementerian Dalam Negeri memaklumkan lebih 1,200 anggota polis dan pasukan penyelamat dikerahkan bagi menangani kesan serangan tersebut.
Zelenskyy memuji usaha perkhidmatan kecemasan yang terus bekerja tanpa henti, sambil menegaskan mereka “mengembalikan kehidupan selepas serangan Rusia.”
Menurutnya, puluhan mangsa masih dirawat di hospital dengan 14 daripada yang cedera adalah kanak-kanak iaitu jumlah kecederaan kanak-kanak tertinggi dalam satu serangan di bandar itu sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh hampir tiga setengah tahun lalu. -REUTERS