RIO DE JANEIRO, 19 November- Presiden Paraguay, Santiago Pena, dikejarkan ke hospital di Rio de Janeiro malam tadi selepas mengalami masalah kesihatan semasa menghadiri Sidang Kemuncak G20, menurut pihak berkuasa.
"Kami ingin memaklumkan bahawa Presiden Republik, Pena, telah menerima rawatan di Hospital Samaritano Botafogo di Rio de Janeiro hari ini," menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan perubatan, hospital tersebut menyatakan bahawa Pena, 46, telah dibawa ke pusat kesihatan untuk ujian diagnostik.
"Ketua negara berada dalam keadaan baik dan kesihatannya kini stabil," menurut kenyataan itu.
Beberapa media Amerika Latin melaporkan bahawa Pena telah mengadu sakit dada.
Pena dijemput ke sidang kemuncak tersebut bersama pemimpin luar oleh Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, selaku tuan rumah.
Pena sebelum itu membentangkan situasi ekonomi negaranya kepada peserta sidang kemuncak, terutamanya dalam memerangi kemiskinan. – AFP