fb fb fb fb fb

Kematian Shinzo Abe: PM Singapura ucap takziah kepada pemimpin Jepun Kishida

(Lee berkata beliau berpeluang bekerjasama dengan Abe selama hampir sedekad/BERNAMA)

SINGAPURA, 10 Julai- Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada rakan sejawatannya dari Jepun Kishida Fumio atas kematian mengejut dan tragis bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.

"Singapura mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan itu," katanya dalam surat kepada Kishida yang turut dilampirkan kepada media hari ini.

Sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat, Lee berkata Abe telah memberi sumbangan besar kepada Jepun melalui pembaharuannya yang terkenal, seperti Abenomics, yang membangunkan ekonomi dan masyarakat Jepun, dan mempertingkatkan kehidupan rakyat. 

Lee berkata beliau berpeluang bekerjasama dengan Abe selama hampir sedekad. Dengan sokongan Abe, hubungan dan kerjasama Singapura-Jepun dalam pelbagai bidang semakin berkembang kukuh.

Hubungan rapat dengan Singapura terbukti apabila Abe meluangkan masa untuk menghadiri upacara pengebumian pengasas negara Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew pada 2015 dan bekas Presiden Singapura S. R. Nathan pada 2016, dan Singapura amat menghargainya. 

“Abe akan sentiasa dikenang sebagai rakan baik Singapura,” katanya.

(Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengadakan sidang akhbar di pejabat Perdana Menteri di Tokyo pada 8 Julai 2022,
selepas berita mengenai serangan ke atas bekas perdana menteri Shinzo Abe. Shinzo Abe
ditembak pada acara kempen di bandar Nara pada 8 Julai/AFP)


Menurut Lee, Abe adalah seorang negarawan antarabangsa yang aktif, memperkukuh penglibatan Jepun dengan kumpulan serantau seperti ASEAN dan APEC.

Semasa Abe memegang jawatan, Lee berkata Singapura dan Jepun bekerjasama rapat untuk mempromosikan acuan serantau yang bebas, terbuka dan inklusif, serta multilateralisme dan liberalisasi perdagangan.

"Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak akan berjaya dimuktamadkan tanpa visi dan kepimpinan Perdana Menteri Abe dan Jepun," katanya.

Abe, 67, ditembak dari belakang ketika menyampaikan ucapan pada kempen pilihan raya di bandar raya Nara pada Jumaat.

“Pemergian mendiang bukan sahaja dirasai di Jepun malah di Singapura dan seluruh dunia. Ingatan dan doa saya sentiasa bersama anda dan rakyat Jepun,” kata Lee. -BERNAMA

Media Baharu