KANANASKIS, 17 Jun - Persidangan kumpulan negara ekonomi maju (G7) pada Selasa menghadapi kesukaran dalam mencapai kesepakatan mengenai konflik Ukraine dan Rusia.
Ini terutamanya selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan turut mengenakan tarif ke atas beberapa negara sekutu yang hadir.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney yang menjadi pengerusi pada sidang itu dijangka mengeluarkan satu kenyataan menyeru supaya meningkatkan tekanan terhadap Rusia, melalui sekatan.
Serta menyatakan sokongan G7 terhadap usaha perdamaian yang diketuai oleh Amerika Syarikat.
Terdahulu Carney mengalu-alukan ketibaan para pemimpin negara G7 dan pemimpin jemputan lain ke sesi petang pada Selasa dalam Sidang Kemuncak G7 yang berlangsung di sini.
Dalam ucapannya, Carney mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin kerana menghadiri sidang kemuncak itu dan menegaskan bahawa kumpulan tersebut lebih kuat apabila bersama.
Trump telah meninggalkan sidang tersebut pada Isnin (16 Jun), dengan alasan perlu segera kembali ke Washington ekoran situasi yang semakin memuncak di Asia Barat, terutama konflik Iran dan Israel.
- REUTERS