fb fb fb fb fb

Serpihan angkasa jatuh atas rumah, NASA dituntut bayar pampasan AS$80,000

Ilutsrasi sampah angkasa lepas/AFP

WASHINGTON, 23 Jun- Sebuah keluarga di Amerika Syarikat menuntut pampasan sebanyak lebih AS$80,000 (RM377,000) daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sebagai ganti rugi selepas serpihan kecil jatuh dari angkasa dan merempuh bumbung rumah mereka di Florida pada Mac lepas.

Firrma guaman, Cranfill Sumner yang mewakili mangsa dalam satu kenyataan memaklumkan masalah sampah angkasa lepas semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Dalam kejadian pada 8 Mac lepas, objek seberat kira-kira 700 gram itu telah melanggar rumah mangsa, Alejandro Otero di Naples, Florida hingga mengakibatkan bumbung kediamannya berlubang.

NASA kemudian mengesahkan ia adalah sebahagian daripada palet kargo berisi bateri terpakai yang dilepaskan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sebagai sisa pada 2021.

"Ia sepatutnya hancur sepenuhnya sebelum jatuh ke bumi, namun satu bahagian kekal utuh ketika ia memasuki ruang atmosfera," jelas NASA.

Anak lelaki Otero berada dalam rumah itu ketika insiden berlaku, menurut firma guaman terbabit, sambil mengatakan bahawa NASA mempunyai enam bulan untuk menjawab tuntutannya.

"Anak guam saya menuntut pampasan berkenaan sebagai mengambil kira tekanan dan impak daripada peristiwa tersebut terhadap kehidupan mereka.

“Mereka bersyukur kerana tiada yang mengalami kecederaan fizikal, tetapi situasi 'nyaris' seperti itu boleh membawa malapetaka.

"Mungkin ada kecederaan serius atau kematian," kata peguam, Mica Nguyen Worthy.

SITI AISHAH MD ISA