fb fb fb fb fb

Serangan udara terbaharu Israel bunuh 16 penduduk di selatan Lubnan

Foto REUTERS

BEIRUT, 17 Oktober–Kira-kira 16 orang terbunuh dalam serangan udara terbaharu Israel di selatan Lubnan yang memusnahkan ibu pejabat majlis perbandaran berkenaan.

Ia sekali gus menjadikannya serangan terbesar terhadap bangunan rasmi Lubnan sejak kempen serangan udara Israel bermula.

Pegawai Lubnan mengecam insiden itu, yang turut mencederakan lebih 50 orang di Nabatieh, ibu kota wilayah tersebut, sambil menyatakan ia sebagai bukti bahawa kempen Israel terhadap kumpulan bersenjata Hizbullah kini beralih kepada menyasarkan negara Lubnan.

Perdana Menteri sementara, Najib Mikati, berkata Israel sengaja menyasarkan mesyuarat majlis perbandaran yang sedang membincangkan isu perkhidmatan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat kempen Israel.

Israel melancarkan kempen ketenteraan darat dan udaranya di Lubnan untuk menghancurkan Hizbullah setahun selepas kumpulan bersenjata yang disokong Iran itu kerap kali melepaskan tembakan melintasi sempadan bagi menyokong pejuang Hamas, di Gaza.

Sementara itu, Pada Rabu, pesawat tentera Israel juga menyerang kawasan selatan Beirut, menjadikannya serangan pertama ke atas ibu kota tersebut sejak 10 Oktober, apabila dua serangan berhampiran pusat bandar membunuh 22 orang dan meruntuhkan keseluruhan bangunan di kawasan berpendudukan padat.

Operasi ketenteraan Israel di Lubnan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 2,350 orang sepanjang tahun lalu, menurut kementerian kesihatan negara itu. Manakala lebih 1.2 juta orang telah dipindahkan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD