fb fb fb fb fb

Lebih 1.4 juta belia Korea Utara mohon sertai tentera susulan pencerobohan dron

Foto Reuters

SEOUL, 17 Oktober - Lebih 1.4 juta belia di Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) memohon untuk menyertai atau menyertai semula angkatan tentera awal minggu ini.

Menurut KCNA, lebih 1.4 juta pegawai liga belia serta belia dan pelajar dari seluruh negara secara sukarela memohon untuk menyertai atau menyertai semula tentera pada 14 dan 15 Oktober, susulan dakwaan pencerobohan dron Korea Selatan ke Pyongyang, ibu negara DPRK.

DPRK menyifatkan insiden dron itu sebagai "provokasi serius yang melanggar kedaulatannya."

Kementerian Luar DPRK mengeluarkan kenyataan lewat Jumaat lalu, menuduh Korea Selatan menghantar dron ke Pyongyang. Tentera Korea Selatan bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Dalam tanda terbaru ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara, tentera DPRK meletupkan sebahagian laluan Gyeongui dan Donghae di utara Garisan Sempadan Ketenteraan pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap dari Korea Selatan.

DPRK masih belum memberi respons terhadap dakwaan letupan jalan raya itu. - BERNAMA

Trainee