GAZA, 29 Jun- Beberapa mangsa yang cedera dan terkorban akibat serangan udara Israel di beberapa kawasan di Gaza dibawa ke Hospital Al-Ahli Baptist untuk mendapatkan rawatan dan bantuan kecemasan.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, serangan terbaharu itu telah meragut nyawa beberapa individu, termasuk wanita dan kanak-kanak, sekali gus menambah kepada angka korban yang terus meningkat dalam konflik kejam dicetuskan rejim Zionis.
Pertumpahan darah tercetus semula sejak Oktober 2023 apabila Israel melancarkan serangan ketenteraan berskala besar ke atas Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza sehingga kini lebih 56,000 nyawa rakyat Palestin terkorban.
Serangan tersebut turut mengakibatkan hampir keseluruhan daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, kerosakan infrastruktur utama, serta mencetuskan krisis kemanusiaan yang semakin memburuk di wilayah yang hampir lumpuh sepenuhnya.
Situasi di Gaza terus membimbangkan masyarakat antarabangsa, dengan seruan semakin kuat agar konflik segera dihentikan dan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan.- REUTERS