GENEVA, 29 Jun- Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Christian Lindmeier menegaskan bahawa gencatan senjata adalah 'penawar terbaik untuk semua pihak' khususnya di Gaza.
Ketika ini wilayah itu terus bergelut dengan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Lindmeier dalam wawancara bersama China Global Television Network (CGTN) memaklumkan bahawa, meskipun petugas WHO tidak berada di lokasi pengagihan bantuan, terdapat bukti kukuh yang mengesahkan kejadian orang awam ditembak ketika cuba mendapatkan makanan.
"Petugas kami tidak berada secara langsung di lokasi pengagihan bantuan, namun laporan daripada hospital menunjukkan ramai mangsa yang cedera akibat tembakan dan serpihan letupan," jelasnya.
Kecederaan tersebut menjadi bukti tidak langsung bahawa serangan berlaku berhampiran tapak bantuan yang dikawal ketat.
WHO baru-baru ini berjaya menghantar bekalan perubatan penting ke Gaza buat kali pertama dalam tempoh hampir empat bulan.
Sembilan buah trak bantuan memasuki Gaza pada awal minggu, disusuli empat trak lagi pada hari berikutnya.
"Tiada serangan mahupun rampasan berlaku ke atas konvoi bantuan ini. Semua bekalan tiba dengan selamat dan kini sedang diagihkan ke klinik serta kemudahan kesihatan yang masih beroperasi," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keperluan mendesak untuk membuka semula koridor kemanusiaan dan mempercepatkan kemasukan bantuan.
"Bantuan sebenarnya sudah bersedia di sempadan Kerem Shalom, hanya menunggu pintu dibuka. Dengan pembukaan laluan dari Jordan dan Mesir, usaha penyaluran akan menjadi lebih pantas. Tetapi yang paling penting, kita perlukan keamanan. Gencatan senjata adalah ubat terbaik untuk semua," ujar Lindmeier.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula Oktober lalu, lebih 56,000 rakyat Palestin terkorban.
Sementara itu hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk di wilayah itu kehilangan tempat tinggal dan berdepan krisis kemanusiaan yang serius.- REUTERS