fb fb fb fb fb

Amaran banjir tahap tertinggi ditamatkan di Rongjiang, usaha pemulihan diteruskan

Keadaan banjir di Wilayah Guizhou, barat daya China/ REUTERS

GUIZHOU, 29 Jun- Pihak berkuasa di Daerah Rongjiang, Wilayah Guizhou, barat daya China, menamatkan amaran kecemasan banjir tahap tertinggi pada pukul 10.00 pagi Ahad, selepas hujan lebat reda dan paras air di sungai serta takungan kembali stabil.

Sebelum ini pada Sabtu, pihak berkuasa telah mengaktifkan semula Tindak Balas Kecemasan Tahap I – tahap tertinggi dalam sistem amaran cuaca empat peringkat China – selepas Stesen Hidrologi tempatan di Sungai Duliu mencatat paras air setinggi 253.06 meter dengan kadar aliran mencecah 8,000 meter padu sesaat.

Susulan itu, lebih 1,000 anggota polis bersenjata dari Pasukan Bersenjata Rakyat Wilayah Guizhou dikerahkan ke lokasi tersebut untuk membantu usaha menyelamat dan pemindahan.

Walaupun berdepan air banjir melimpah secara mendadak, pasukan polis bersenjata dan anggota militia dari daerah sekitar berjaya memindahkan lebih 41,500 penduduk ke kawasan selamat sehingga petang Sabtu.

Antara yang terlibat termasuk anggota militia dari Daerah Danzhai, yang turut terjejas akibat banjir sebelum ini dan telah berada di Rongjiang selama hampir seminggu.

"Kami baru sahaja menerima khabar daripada keluarga di kampung bahawa mereka selamat. Itu memberi ketenangan dan semangat kepada kami untuk terus berkhidmat di sini. Mereka berjuang di sana, dan kami lakukan bahagian kami di sini," kata anggota pasukan penyelamat dari Danzhai, Li Xianzhao.

Menurut pihak berkuasa pengurusan banjir tempatan banjir besar yang melanda sejak Selasa lalu telah meragut enam nyawa.

Bencana itu disifatkan sebagai antara yang paling buruk dalam tempoh 50 tahun, dengan paras air beberapa sungai meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan kawasan rendah ditenggelami air dan kerosakan infrastruktur di beberapa pekan.

Kesan utama banjir itu termasuk jalan raya terputus, komunikasi terganggu serta ramai penduduk terperangkap dan memerlukan bantuan segera.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI