fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 20 lagi terkorban, termasuk kanak-kanak di Gaza

Mangsa tercedera akibat serangan udara Israel dirawat di Hospital Al-Ahli Baptist/ REUTERS

GAZA, 29 Jun- Sekurang-kurangnya 20 lagi rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terkorban dalam dua serangan udara Israel yang menggegarkan kejiranan Al-Tuffah di timur Bandar Gaza pada Sabtu.

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Gaza, puluhan lagi dilaporkan cedera dalam dua serangan berasingan itu – satu menyasarkan sekumpulan orang awam berhampiran tempat perlindungan Sekolah Jaffa, dan satu lagi disasarkan ke pasar yang sesak di kawasan sama.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Al-Ahli Baptist di Bandar Gaza pada petang Sabtu. Kekurangan bekalan perubatan dan kemudahan rawatan kritikal memaksa ramai pesakit terlantar di lantai hospital menunggu rawatan.

"Saya bukan ahli Hamas. Saya hanya rakyat biasa yang sedang mencari makanan untuk tiga anak saya.

"Saya keluar untuk membeli tepung dan sedang dalam perjalanan pulang apabila peluru berpandu meletup di jalan berhampiran sekolah. Saya terkena serpihan di kepala," kata seorang mangsa yang cedera, Alian Khudair.

Menurut kakitangan hospital, sekitar 50 individu cedera dibawa masuk serentak.

"Kebanyakan mereka adalah wanita, kanak-kanak dan warga emas, mengalami kecederaan akibat serpihan di kepala, dada dan anggota badan lain.

"Walaupun berdepan kekurangan peralatan dan katil hospital, kami tetap berusaha sedaya mungkin untuk merawat mereka," ujar penyambut tetamu hospital, Ahmed Abed.

Serangan di kawasan yang padat dengan penduduk awam itu menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan pasukan penyelamat tempatan.

Jurucakap Pertahanan Awam Palestin, Mahmoud Basal, menyifatkan tindakan tersebut sebagai menyasarkan orang awam secara sengaja.

"Beberapa pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan, menyasarkan orang awam secara sengaja. Di kawasan Jaffa Street, dua serangan berasingan berlaku dalam selang masa satu jam.

"Serangan pertama menyasarkan orang awam di tengah pasar, dipercayai peluru berpandu dari dron, menyebabkan 11 terbunuh dan lebih 30 cedera. Sepuluh daripada mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal.

"Serangan kedua berlaku sejam kemudian di kawasan yang sama, turut menyasarkan orang awam dan meragut sembilan lagi nyawa, termasuk kanak-kanak," katanya.

Serangan itu terus memburukkan krisis kemanusiaan yang melanda Gaza sejak konflik tercetus semula tahun lalu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI