fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel bunuh 15 warga Palestin yang berlindung di sekolah

Foto Reuters

GAZA, 4 Julai - Serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 15 penduduk Palestin terutama wanita dan kanak-kanak selain mencederakan beberapa mangsa yang lain di sebuah pusat perlindungan sekolah di Gaza pada Khamis.

Sumber tempatan dan saksi berkata, pesawat pejuang Israel mengebom sekolah Mustafa Hafez, yang menempatkan pelarian di kawasan kejiranan al-Rimal di sebelah barat Bandar Gaza, dengan satu peluru berpandu.

Seorang ibu, Subhiya Alarqan menyatakan kesedihannya atas kehilangan anaknya.

"Anak saya terang seperti bulan. Api membakarnya sepenuhnya, menjadikannya timbunan arang batu. Hidup saya telah bertukar menjadi neraka kerana kematiannya. Saya tertanya-tanya bagaimana saya boleh menggambarkan apa yang berlaku. Dia dibunuh ketika dia berdiri di jalanan," katanya.

Ini hanyalah salah satu daripada serangan yang berlaku di seluruh Gaza sejak 24 jam yang lalu, termasuk satu lagi serangan ke atas tempat perlindungan di timur Kota Gaza di mana 16 orang dilaporkan terbunuh.

Menurut anggaran tempatan, dalam tempoh 48 jam yang lalu, 300 rakyat Palestin terbunuh dalam beberapa serangan udara di bahagian berlainan di Gaza.

Serangan dilakukan ketika perbincangan mengenai kemungkinan gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang diusahakan oleh Amerika Syarikat., Qatar dan Mesir sedang berlangsung.

Hamas dan Israel telah mengadakan beberapa pusingan rundingan tidak langsung sejak beberapa bulan lalu, tetapi tiada perjanjian gencatan senjata muktamad dicapai.

Dalam rundingan sebelum ini, Hamas menuntut perang tamat sepenuhnya, manakala Israel menegaskan gencatan senjata sementara.-REUTERS

AZRUL FAIZAL JUSOH