(Foto Reuters)
DAEJEON, 4 Ogos- Polis Korea Selatan menahan seorang lelaki selepas disyaki menikam seorang guru sekolah menengah di pusat bandar, di sini, pada Jumaat.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an menunggu guru berkenaan keluar dari sebuah kelas sebelum menikamnya dan melarikan diri.
Menurut polis, kedua-duanya adalah kenalan dan ia bukan serangan rambang.
Serangan itu berlaku sehari selepas polis menahan seorang penyerang yang merempuh keretanya ke arah orang ramai, kemudian keluar dan menikam beberapa orang.
Kejadian itu mencederakan 14 orang, berhampiran ibu kota Seoul.
Sementara itu, Ketua Polis Kebangsaan Korea Selatan, Yoon Hee-keun pada Jumaat memberitahu akan menggerakkan pasukannya, melakukan pemeriksaan kepada sesiapa yang disyaki membawa senjata.
"Situasi semasa adalah kecemasan yang serius di mana keselamatan awam terancam oleh pelbagai jenayah kejam. Jenayah kejam terhadap rakyat yang tidak bersalah adalah tindakan pengganas.
"Selaras dengan prosedur undang-undang, kami akan melakukan pencarian secara selektif terhadap mereka yang disyaki memiliki senjata atau menunjukkan tingkah laku yang tidak normal," katanya.-REUTERS
(Ketua Polis Kebangsaan Korea Selatan, Yoon Hee-keun/Foto Reuters)