fb fb fb fb fb

Taufan Doksuri, pasukan penyelamat tingkat pemindahan penduduk di China

(Foto Reuters)

CHINA, 4 Ogos- Pasukan penyelamat meningkatkan pemindahan penduduk di wilayah utara dan timur laut China, lapor media kerajaan pada Jumaat.

Ia selepas ribut yang dicetuskan oleh Taufan Doksuri memburukkan lagi banjir dan banyak kampung ditenggelami air.

Penyiar kerajaan, CCTV menerusi rakaman dron menunjukkan banyak kawasan diliputi air yang bertukar warna coklat di kawasan penanaman jagung di Jilin.

Pihak berkuasa turut dilapor menubuhkan kem untuk 12,550 orang yang dipindahkan dari bandar Shulan.

Sementara itu, bandar Zhuozhou, di wilayah Hebei utara, menyaksikan petugas kecemasan melakukan pemindahan pantas penduduk yang terperangkap di rumah mereka.

Taufan Doksuri telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 orang maut, manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Bencana itu membanjiri Beijing dan beberapa bandar lain sejak ia membadai selatan China seminggu lalu.

Biro Cuaca Pusat menjangkakan lebih banyak ribut, malah hujan batu, di beberapa bahagian wilayah Heilongjiang, Jilin dan Liaoning di timur laut China dilaporkan berlaku dari Jumaat hingga Sabtu.-REUTERS

(Pasukan penyelamat meningkatkan pemindahan
penduduk di wilayah utara dan timur laut China/Foto Reuters)

Media Baharu