fb fb fb fb fb

Serangan terbaharu Israel bunuh 37 rakyat Palestin

Israel terus rakus membunuh 37 rakyat Palestin dalam serangan pada Selasa./AFP

GAZA, 11 Jun - Serangan Israel di seluruh Gaza sejak sejak Selasa mengorbankan 37 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 200 yang lain.

Jumlah tersebut termasuk 19 penduduk yang terkorban akibat dibedil dron quadcopter rejim ketika sedang beratur untuk menerima bantuan berhampiran Koridor Netrazim di selatan Gaza.

Memetik laporan Anadolu Agensi, sumber perubatan Gaza turut mendedahkan 12 lagi mangsa terbunuh dalam serangan udara Israel di Bandar Jabalia di utara Gaza.

Turut terbunuh, tiga sekeluarga apabila sebuah khemah pelarian di Khan Younis, selatan Gaza, dibom tentera Israel, manakala tiga maut dalam satu lagi serangan serangan lain menyasarkan kediaman dan kemudahan Bulan Sabit Merah di Deir al-Balah, tengah Gaza.

Tentera Zionis terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sejak Oktober 2023, walaupun mendapat desakan antarabangsa supaya menghentikan perang yang telah mengorbankan hampir 55,000 rakyat Palestin.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas wilayah itu.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN