fb fb fb fb fb

15 anggota polis cedera dalam kekacauan di Ireland Utara

15 anggota polis cedera dalam insiden kekacauan di Ireland Utara./REUTERS

IRELAND UTARA, 11 Jun - Polis Ireland Utara mengesahkan 15 anggota polis cedera dalam insiden kekacauan di Ballymena, pada Isnin.

Kekacauan tercetus susulan protes aman menyokong keluarga seorang gadis yang didakwa menjadi mangsa serangan seksual.

Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI) dalam satu kenyataan, mengutuk keganasan tersebut yang mencemari perhimpunan yang dirancang berlangsung aman.

Kenyataan itu menyebut, perhimpunan awalnya berlangsung secara aman menuju ke kawasan Clonavon Terrace, Ballymena.

Namun, tindakan beberapa individu bertopeng yang membina perintang, mengumpul bahan pelontar dan mencetuskan kekecohan di kawasan Clonavon Terrace mencemari perhimpunan.

Perbuatan itu mendorong sebahagian peserta lain bertindak menyerang anggota polis dan situasi itu berterusan selama beberapa jam.

Kejadian itu menyebabkan beberapa kediaman dan premis perniagaan rosak selain empat rumah terbakar menyebabkan tiga penghuni dipindahkan.

Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki melakukan rusuhan, cuba melakukan kerosakan harta benda dan melawan polis.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN