SYRIA, 11 Jun - Memakai vest dan topi keledar khas untuk tugas pemusnahan bahan letupan, Heba Gadaa, seorang wanita Syria berusia 29 tahun, teliti menjalankan tugasnya membersihkan bahan letupan yang belum meletup (UXO) dari pelbagai kawasan di pinggir bandar Aleppo dan Idlib.
Graduan fizik itu telah menghabiskan tiga tahun lalu bekerja dalam bidang kesedaran tentang sisa-sisa perang sebagai sebahagian daripada pasukan yang disokong oleh The Halo Trust, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang pakar dalam pemindahan periuk api dan sisa letupan perang lain.
Empat bulan lalu, beliau mula terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pemindahan dan pemusnahan UXO.
Setiap bulan, Gadaa dan pasukannya yang terdiri daripada lima orang, dua wanita dan tiga lelaki, membuang antara 100 hingga 200 jenis sisa perang yang berbeza termasuk “peluru, periuk api, fius, dan mortar”.
Tinggal bersama keluarganya di kawasan luar bandar Idlib, Gadaa memberitahu Reuters bahawa beliau telah menyelesaikan beberapa kursus latihan untuk mempersiapkan diri menghadapi risiko kerja pelucutan bom.
Katanya, ia bukan sekadar pekerjaan namun ia adalah sebahagian tanggungjawab sosial, sambil mengenang detik yang mendorongnya menceburi bidang ini apabila saudara kandungnya yang berusia 9 tahun maut ketika bermain dengan peluru yang belum meletup pada tahun 2019.
Beliau menekankan rasa tanggungjawabnya untuk melindungi orang sekelilingnya. - REUTERS