fb fb fb fb fb

Labubu jadi koleksi bernilai tinggi

Labubu bersaiz manusia - Foto REUTERS

BEIJING, 11 Jun - Labubu bersaiz manusia telah berjaya dijual pada harga 1.08 juta yuan bersamaan kira-kira RM707,000 pada Selasa, sekali gus mencatatkan rekod baharu bagi mainan “blind box” yang kini berkembang daripada sekadar fenomena menjadi koleksi bernilai tinggi.

Acara yang dianjurkan oleh Yongle International Auction itu, yang lazimnya memberi tumpuan kepada seni moden dan barang kemas, mencatatkan lelongan pertama yang dikhaskan untuk Labubu, figura raksasa bergigi yang dijual oleh syarikat mainan China, Pop Mart dan telah mencetuskan kegilaan global sepanjang tahun lalu.

Sebanyak 48 lot ditawarkan dalam lelongan itu, dengan kira-kira 200 orang hadir secara fizikal, manakala lebih seribu pembida meletakkan tawaran melalui aplikasi mudah alih Yongle.

Harga permulaan bagi semua barangan bermula dari kosong, dan keseluruhan acara itu berjaya mengutip 3.73 juta yuan bersamaan kira-kira RM2.68 juta.

Item yang mencatatkan harga tertinggi ialah figura Labubu berwarna hijau pudina setinggi 131 cm (4.3 kaki), yang menerima beberapa bidaan sebelum terjual pada harga 1.08 juta yuan.

Jurulelong berkata figura itu adalah satu-satunya yang wujud di dunia.

Satu set tiga arca Labubu, masing-masing setinggi kira-kira 40 cm dan diperbuat daripada bahan PVC, dijual pada harga 510,000 yuan (RM366,537).

Set yang dikenali sebagai “Three Wise Labubu” ini hanya dikeluarkan sebanyak 120 set pada tahun 2017.

Satu lagi set yang sama telah terjual pada harga HKD203,200 (RM123,500) dalam lelongan terkini oleh Sotheby’s di Hong Kong.

Labubu dicipta sedekad lalu oleh artis dan ilustrator dari Hong Kong, Kasing Lung.

Pada tahun 2019, Lung bersetuju untuk membenarkan Pop Mart syarikat mainan China yang memasarkan figura koleksi dalam bentuk "blind box", menjualnya secara rasmi. - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE