fb fb fb fb fb

Serangan seksual: Mogul fesyen Kanada, Nygard di hukum penjara

Mogul fesyen Kanada, Peter Nygard

OTTAWA, 10 September- Peter Nygard, pengasas salah satu jenama pakaian terbesar di Kanada, telah dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun pada Isnin atas empat pertuduhan serangan seksual di Toronto.

Dia dijangka boleh dibebaskan dalam kira-kira enam setengah tahun dengan mengambil kira masa yang dihabiskan dalam tahanan sebelum perbicaraan, atau lebih awal jika diberi parol.

Nygard, 83, digambarkan sebagai "kisah kejayaan Kanada yang salah arah," kata Hakim Mahkamah Tinggi Ontario, Robert Goldstein, semasa menjatuhkan hukuman.

Beliau menyebut Nygard sebagai seorang pemangsa seksual dan menambah, "Encik Nygard menggunakan kekayaannya, kuasa, dan statusnya untuk memperdaya mangsa-mangsanya."

Memakai hoodie gelap dan pelindung untuk melindungi matanya daripada cahaya mahkamah, Nygard tidak kelihatan memberi sebarang reaksi terhadap keputusan tersebut.

Dia telah disabitkan pada November 2023 atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua salah satu pembuat pakaian wanita terbesar di Kanada untuk menyerang secara seksual tiga wanita dan seorang gadis berusia 16 tahun antara 1988 hingga 2005.

Dia telah menjemput mereka ke pejabat mewahnya di Kanada dengan alasan peluang untuk menjadi model.

Namun akhirnya mendapati diri mereka menjadi mangsa Nygard, terperangkap di bilik tidur di tingkat atas dengan tab mandi air panas.

Kes tersebut menandakan kejatuhan yang luar biasa bagi seorang lelaki yang pernah menjual blaus dan seluar di gedung-gedung besar dan kedai miliknya sendiri, serta menganjurkan parti mewah di rumahnya di Bahamas.

Pendakwa raya memohon agar Nygard dipenjarakan sekurang-kurangnya 15 tahun, manakala pihak pembelaan, dengan alasan umur lanjut dan kesihatan, memohon agar dia dibebaskan dalam masa dua tahun.

Hakim turut menekankan dalam keputusan hukuman tersebut "keganasan, penghinaan dan tempoh serangan seksual itu serta manipulasi yang digunakan untuk membawa mangsa ke apartmen peribadinya" di ibu pejabat Nygard International di Toronto ketika itu.

Hakim juga menyatakan bahawa Nygard tidak mengubah tingkah lakunya sepanjang bertahun-tahun.

Dahulu dikenali sebagai figura yang tinggi dan bertubuh sasa, Peter Nygard dilaporkan pernah menerima jemputan makan malam bersama Ratu Elizabeth II dan bergaul dengan pemimpin politik serta bintang Hollywood.

Dia sering berbangga dengan kejayaannya daripada permulaan yang sederhana, sebagai seorang pendatang muda dari Finland yang membina empayar fesyen dengan hampir 170 kedai pada kemuncaknya, dan mengumpul kekayaan peribadi bernilai Can$850 juta (AS$620 juta).

Namun, semuanya runtuh pada tahun 2020 apabila polis menyerbu ibu pejabat korporatnya di Manhattan, dan syarikatnya memfailkan perlindungan kebankrapan tidak lama selepas itu.

Penangkapannya di Kanada pada tahun yang sama berlaku selepas seorang pemberi maklumat mendedahkan rakaman yang menunjukkan seorang remaja berusia 17 tahun menari di tiang penari bogel di dalam pesawat peribadi Nygard, Boeing 727.

Salah seorang yang menuduhnya menyifatkan Nygard sebagai "raksasa."

Di Amerika Syarikat, pendakwa raya mendakwa bahawa Nygard menggunakan dana syarikat untuk menganjurkan "pamper parties" di mana gadis-gadis bawah umur dibius dan wanita diserang jika mereka tidak memenuhi tuntutan seksualnya.

Mereka juga sedang berusaha untuk mengekstradisi Nygard ke Amerika Syarikat.

Selain itu, Nygard masih menghadapi perbicaraan atas tuduhan berasingan di wilayah Manitoba dan Quebec, Kanada.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE