WASHIGTON, 10 September- Pemilihan juri bermula pada Isnin bagi perbicaraan tiga bekas pegawai polis yang dituduh melanggar hak sivil seorang lelaki kulit hitam yang meninggal dunia selepas dipukul dengan kejam semasa pemeriksaan lalu lintas di bandar Memphis, AS.
Lima pegawai polis telah didakwa berhubung kematian Tyre Nichols pada Januari 2023, yang ditendang, ditumbuk, ditembak dengan taser, dan disembur dengan penyembur lada di bandar Memphis, Tennessee.
Dua daripada lima pegawai, yang kesemuanya berkulit hitam, mengaku bersalah atas tuduhan hak sivil persekutuan manakala tiga yang lain Tadarrius Bean, Demetrius Haley, Justin Smith memohon untuk dibicarakan.
Sekitar 200 bakal juri telah dipanggil ke mahkamah persekutuan di pusat bandar Memphis pada Isnin untuk memulakan pemilihan juri bagi perbicaraan Bean, Haley, dan Smith, menurut laporan akhbar Memphis Commercial Appeal.
Mereka dituduh menghalang saksi, melanggar hak sivil Nichols dengan menggunakan kekerasan melampau, dan beberapa kesalahan lain.
Dua pegawai lain, Emmitt Martin dan Desmond Mills, telah mengaku bersalah atas tuduhan yang sama.
Pegawai-pegawai ini merupakan ahli unit khas anti-jenayah yang telah dibubarkan, dikenali sebagai Unit Scorpion. Mereka dirakam memukul Nichols, seorang lelaki berusia 29 tahun, semasa pemeriksaan lalu lintas pada 7 Januari 2023, berhampiran rumahnya.
Dia meninggal dunia di hospital tiga hari kemudian.
Kelima-lima pegawai itu juga berdepan tuduhan di peringkat negeri berhubung kematian Nichols, termasuk tuduhan membunuh darjah kedua.
Rakaman video yang menunjukkan Nichols dipukul dengan kejam, mencetuskan kemarahan dan tuntutan awam untuk pembaharuan polis.
Naib Presiden Kamala Harris menghadiri upacara pengebumiannya dan ahli keluarga Nichols dijemput ke ucapan State of the Union oleh Presiden Joe Biden di Washington.-AFP