KIEV, 11 Disember- Jumlah korban akibat serangan peluru berpandu Rusia meningkat kepada enam orang, memusnahkan sebuah klinik di bandar Zaporizhzhia, Ukraine pada Selasa.
Menurut gabenor wilayah dan perkhidmatan kecemasan pada Rabu, empat lagi masih terperangkap di bawah runtuhan.
Serangan itu turut mencederakan 22 orang, kata Gabenor Ivan Fedorov menerusi saluran Telegramnya.
"Semua perkhidmatan kecemasan bandar sedang bekerja di lokasi kejadian," katanya.
Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine melaporkan bahawa pasukannya berjaya menyelamatkan dua wanita dari bawah runtuhan bangunan semasa operasi malam.
Gambar yang dimuat naik ke saluran Telegram perkhidmatan kecemasan menunjukkan pasukan penyelamat dan jentera sedang bekerja di atas timbunan runtuhan bangunan yang roboh pada waktu malam.
Rusia kerap melancarkan serangan udara ke atas Zaporizhzhia dan kawasan sekitarnya.
Jumaat lalu, serangan di bandar itu meragut 10 nyawa dan mencederakan lebih daripada 20 orang.
Kedua-dua pihak menafikan menyasarkan orang awam, dengan menyatakan serangan tersebut bertujuan melemahkan infrastruktur penting untuk usaha perang masing-masing.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada Selasa menggesa sekutu negaranya untuk menyediakan tambahan 10 hingga 12 sistem pertahanan udara Patriot, dalam usaha melindungi ruang udara negara itu sepenuhnya.
Sejak pencerobohan besar-besaran Rusia pada Februari 2022, Ukraine secara konsisten meminta sekutunya untuk membekalkan sistem pertahanan udara yang lebih canggih.- REUTERS